SABAK BERNAM, 8 Ogos – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail melihat lima tekad yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor bakal membawa manfaat tersendiri kepada rakyat.

Jelas beliau, ini termasuk buat penduduk di Sungai Air Tawar yang menyaksikan perancangan Jajaran Kita Selangor iaitu perkhidmatan rel menghubungkan Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sabak Bernam.

“Berkenaan lima teras yang baru diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, saya nampak penerimaan itu amat baik dalam kalangan rakyat di sini.

“Sekiranya berjalan dengan baik ianya sudah pasti memberi impak besar antaranya perancangan kereta api daripada Sungai Air Tawar sehingga ke Hulu Langat, sekiranya ia dilakukan akan memberi impak ekonomi kepada kawasan,” katanya.

Terdahulu, Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Negeri mengumumkan Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun’ dalam usaha memenangi hati pengundi di Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Lima teras itu adalah ekonomi, agama, perkhidmatan kerajaan, pembangunan mampan, selesa dan berdaya huni; dan Selangor negeri penyayang .

Dalam pada itu Rizam yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam berkata sebagai penyandang DUN berkenaan, beliau tentunya mahu meneruskan kesinambungan pembangunan yang dirangka sebelum ini.

Katanya ini termasuk memanfaatkan kampung tradisi yang menjadi simbolik kepada kawasan ini untuk diangkat sebagai tempat pelancongan.

“Saya lihat Sungai Air Tawar mempunyai satu tradisi yang perlu dikekalkan pada masa sama dibawa untuk dirasai oleh masyarakat di negara kita.

“Kerana jika dilihat di negeri Selangor ini hampir semua DUN ini sudah membangun iaitu menjadi bandar dan separuh bandar.

“Kawasan ini masih original kampung sebab itu saya hendak ada pembangunan untuk dijadikan pusat pelancongan kawasan tradisi di mana orang tempatan banyak membuat IKS (industri kecil dan sederhana), pertanian akan lebih moden dan dipasarkan dengan lebih mudah,” ujar beliau.

Untuk rekod, DUN Sungai Air Tawar ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Rizam dengan Zaidi Selamat mewakili Perikatan Nasional (PN).