SUNGAI BESAR, 8 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diadakan serentak pada 12 Ogos sementara pengundian awal berlangsung hari ini.

Dalam hal ini, Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi memaklumkan bahawa anggota jentera bahagiannya yang telah lebih seminggu berkampung di sini fokus kepada gerak kerja memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang tetap menjadi milik Barisan Nasional (BN).

Katanya, tekad UMNO Bahagian Papar turun padang berkempen membantu calon DUN Sungai Panjang, Datuk Imran Tamrin bagi agar kemenangan kekal dalam BN dan menyumbang kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan Selangor.

“Kemenangan DUN ini sangat penting bagi menyumbang kepada pembentukan Kerajaan Negeri Selangor yang disepakati dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan Negeri perlulah selari dengan kerajaan pusat iaitu Kerajaan Perpaduan agar pembangunan dan kemajuan yang telah dirancang sebagaimana terkandung dalam manifesto dapat dilaksana,” katanya.

Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal sempena PRN di enam negeri, dibuka serentak bermula 8 pagi ini.

Turut dibuka tiga pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak.

Sabtu ini hari mengundi PRN di Kelantan,Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu.